Thursday, 29 January 2015

 photo Bismillah.jpg

Pernahkah anda menaiki pesawat atau kapal terbang sebelum ini?

Jika pernah, pastinya anda sudah biasa dengan 'routine check' yang dikendalikan oleh anak kapal sebelum pesawat meneruskan penerbangan termasuklah pengumuman keselamatan sebelum berlepas dan mendarat.

Bagi yang sudah biasa menaiki pesawat, pengumuman keselamatan yang disiarkan oleh syarikat penerbangan amat berbeza. Malaysia Airlines contohnya, menggunakan sistem rakaman elektronik dan paparan LCD bagi menunjukkan tatacara mengendalikan peralatan jika berlaku kecemasan.

AirAsia pula memilih pendekatan cara tradisional iaitu menggunakan pramugara/pramugari mereka bagi membuat demonstrasi. Jadi, apa yang hendak dihairankan?

Walaupun ianya sesuatu yang biasa, namun sedarkah anda bahawa berapa ramai penumpang yang menaiki pesawat ini memberi perhatian sepenuhnya kepada pengumuman yang dibuat? Aku berani cakap, dalam 200 penumpang yang berada di dalam perut kapal terbang, kurang dari 10% sahaja yang duduk diam sambil menumpukan perhatian terhadap pengumuman keselamatan ini. Yang selebihnya, sibuk dengan "hal" masing-masing.

Itulah masalahnya dengan manusia; jarang memberi perhatian kepada perkara yang penting! Kalau dah terjadi sesuatu perkara, baru nak terhegeh-hegeh ambil tahu. Mungkin pada waktu itu, sudah terlambat. Bila corong udara terkeluar, entah tahu atau tidak bagaimana hendak memasangnya. Itu belum campur jaket keselamatan lagi. Silap haribulan, yang sepatutnya diklip dan diikat, terus berbelit belit di badan. Alasannya, panik punya pasal!

Namun begitu, ada juga syarikat penerbangan yang cuba mengambil inisiatif sendiri untuk menarik perhatian penumpang bagi mendengar pengumuman keselamatan mereka. Video rakaman yang aku perolehi dari YouTube ini memamparkan anak kapal dari syarikat AirAsia mengambil langkah untuk buat sesuatu yang "lain dari yang lain" bila menerangkan tentang tatacara keselamatan.

Secara serius, aku memang "salute" mereka ini. Walaupun agak ganjil dan sebenarnya melanggar tatacara membuat pengumuman di dalam pesawat, tapi aku rasa ianya sesuatu yang kreatif dan wajar diberi kredit! Tahu kenapa? Dari orang buat taktahu, semuanya terdiam dan mendengar setiap bait perkataan yang disampaikan.

Bukankah itu sesuatu yang berjaya? Mesej yang ingin disampaikan memang benar benar 'sampai' kepada penerimanya.

Aku; sehingga kini masih lagi tergelak bila menonton klip video ini. Manakan tidak, memang kelakar sungguh! Cuba kalian amati betul betul apa yang pramugara tu sebut (termasuk dengan efek sekali!).

Setiap kali menaiki pesawat, memang aku tidak pernah lupa membaca doa menaiki kenderaan sambil mengucap banyak-banyak. Perasaan gemuruh itu tetap ada terutamanya ketika berlepas (take-off) dan juga mendarat (landing).

Pengumuman seperti ini memang sentiasa menjadi keutamaan aku dan aku pasti akan memberi perhatian sepenuhnya kerana tatacara keselamatan adalah berbeza dari satu pesawat dengan pesawat yang lain.



 photo ab53117a-3175-4df1-a4a2-3d08b0538856.jpg


Wednesday, 28 January 2015

 photo Bismillah.jpg

Salam ukhwah dan selamat sejahtera buat pembaca sekalian.


 photo pic29292.gif



 photo ab53117a-3175-4df1-a4a2-3d08b0538856.jpg



Monday, 26 January 2015

 photo Bismillah.jpg

Bersua kembali.

Sejauh manakah anda mempercayai hubungan jarak jauh?

Adakah anda mempunyai sebarang pengalaman sebelum ini? Benarkah perhubungan jarak jauh itu adalah sesuatu yang agak mustahil dan tidak mungkin akan terjadi?

Sebenarnya, ia bergantung kepada individu dan bagaimana sesebuah hubungan itu berlangsung. Aku pernah mendengar cerita sebelum ini, ada antara kita kini hidup bahagia setelah sekian lamanya menjalinkan hubungan jarak jauh. Jadi, ianya tidaklah sukar dan mustahil sebenarnya.

Bagi aku, jalinan sesebuah hubungan bukanlah berdasarkan jarak dan masa. Semuanya pasti akan terjadi jika kita pandai mengendalikan sesebuah hubungan tersebut. Selain dari itu, faktor seperti hati dan perasaan, qada' dan qadar serta jodoh juga menyumbang kepada kejayaan sesebuah hubungan.

Orang tua pun dah berpesan, "ikan di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu juga". Benar sangatlah perumpamaan ini. Betapa jauh sekali kita dengan pasangan/bakal pasangan, sejauh manakah berbeza ruang waktu, kalau Allah dah jadikan dan tentukan kamu hidup bersama si dia, maka dengan dia juga kamu akan bersua. Itu janji Allah pada semua hambanya.

 photo 5f7a8843-2f3c-42ec-8de5-4d37b0cd8a8e.jpg

Menghormati sesebuah hubungan itu amat penting. Selain dari menghormati, kita harus ikhlas dan sentiasa beringat bahawa jarak bukanlah sebagai alasan untuk kita tidak menghormati hubungan yang di bina. Ia bukan lah juga alasan untuk kita berpaling tadah mahupun curang dengan insan yang kita sayangi.

Kita harus percaya pada pasangan kita, ikhlas dan jujur pada dia dan sentiasa beringat bahawa dia diciptakan untuk bersama dengan kita. Dek kerana jarak ataupun masa yang berbeza, kita tidak dapat bersama dengannya buat sementara waktu. Namun, aku tidak begitu faham, kenapa manusia zaman sekarang amat sukar untuk jujur dan setia dalam perhubungan yang mereka bina sendiri. Jangan katakan jarak jauh, dah dekat-dekat pun menghadapi masalah! Curang sudah menjadi perkara yang biasa kita dengar. Baik yang sudah berkahwin mahupun yang masih membina ikatan cinta. Apa masalahnya?

Mungkin pegangan dan didikan agama yang kurang menjadi punca bagaimana sesebuah hubungan  menjadi gagal. Perasaan yang dibina bertahun lamanya hancur musnah dalam sekelip mata. Masing-masing masih gagal untuk memahami dan mendalami nilai sebenar hubungan yang telah dibina. Bagi yang menghargai, semestinya merasa sayang dan tidak sanggup membiarkan ianya putus di tengah jalan. Sebaik-baiknya cuba menyelamatkan sebelum terlewat.

Jadi, sejauh manakah hubungan jarak jauh itu berkesan pada anda?


 photo ab53117a-3175-4df1-a4a2-3d08b0538856.jpg


Thursday, 22 January 2015

 photo Bismillah.jpg

Bertemu kembali.

Syukur, alhamdulillah. Hari ini aku dapat melihat banyak wajah-wajah ceria. Senyum berbunga-bunga. Manakan tidak, dapat 'durian runtuh' hari ini.

Setelah tiga tahun menanti, akhirnya dapat juga! Walaupun aku bukan tergolong dalam kumpulan yang menerima 'durian runtuh' hari ini, sebagai seorang rakan yang duduk dikelilingi mereka ini, aku tumpang gembira.

Rezeki dari Allah. Dengan keizinan dariNya, alhamdulillah. Penantian yang sekian lama telah berhasil. Rata-rata yang menerima tidak merungut malah bersyukur dengan apa yang diperolehi. Tempoh tiga tahun adalah satu jangka masa yang sangat lama. Kalau seorang bayi yang baru lahir, pastinya sudah pandai merangkak atau pun berjalan!

Bayangkanlah, bila menerima wang melebihi jumlah RM10 ribu. Jumlah yang sangat besar untuk diterima dalam satu satu masa. Itulah hakikat, ada antara mereka ini gaji sudah terlalu tinggi. Jadi, tidak hairan jika ada yang menerima imbuhan tertunggak ini dalam jumlah yang besar. Lagipun, mereka semua merupakan 'senior' yang sudah lama berkhidmat dengan syarikat. Memang layaklah mereka menerima semua itu.

Semoga dengan apa yang diberikan akan mendorong mereka supaya bekerja dengan lebih gigih lagi. Menyumbang tenaga dan idea agar pencapaian syarikat terus maju. Jangan pula jadi sebaliknya, sudahlah.


 photo ab53117a-3175-4df1-a4a2-3d08b0538856.jpg


Sunday, 18 January 2015

 photo Bismillah.jpg

Kalau kita melihat kepada wajah Syeikh Nuruddin Al-Banjari di sebelah, kita dapati wajahnya sangat bahagia. Wajahnya tenang dan damai, tetapi penuh kewibawaan.

Anda tahu apa erti bahagia? Apa tanda-tandanya? Mari ikuti hadis Nabi di bawah untuk mengetahui 12 tanda bahagia.

Dari Rakb Al-Mashri, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Berbahagialah"...


[1] Orang yang merendah diri tanpa mengurangi kedudukannya

Merendah diri bererti tawaduk. Bila seorang merendah diri, maka tuhan akan mengangkat darjatnya. Ia jadi mulia di mata orang ramai. Sebaliknya jika seseorang itu takbur (mengangkat diri sendiri), tuhan akan membenamkannya. Maka orang ramai merasa jijik dan sangat benci padanya.

Orang kaya, orang berpangkat, yang merendah diri semakin dihargai dan dimuliakan masyarakat. Sebaliknya jika dia takbur, berlagak, sombong, mengada-ada, nescaya semakin dibenci oleh msyarakat. Rumahnya kosong, perkataannya sepi, jiran-jirannya lari dan dia terbiar seperti kera sumbang.


[2] Orang yang menghinakan diri tanpa diminta melakukan demikian

Maksudnya, orang yang berpakaian biasa-biasa sahaja, atau makan biasa-biasa sahaja, sedangkan dia kaya atau mampu untuk bermewah-mewah. Dia mementingkan agamanya. Dia tidak mahu bermewah-mewah supaya dunia tidak masuk ke dalam hatinya.

Sekarang ini, ramai orang kaya atau yang berpangkat mengambil pendekatan begini. Mereka menyembunyikan diri mereka dari orang ramai supaya diri mereka kelihatan sebagai orang biasa. Mereka mahu menjadi hamba Tuhan yang faqir, hina, lemah dan kurang apabila berhadapan dengan Tuhan. Demikian tuntutan agama sebagaimana yang disyarahkan dalam kitab Al-Hikam. Mereka cuba mengelak dari sifat takbur.


[3] Orang yang membelanjakan harta yang dikumpulkannya pada jalan yang diredhai Allah

Bersedekahlah untuk jalan Allah. Paling mudah, anda bawa RM1 setiap kali solat Jumaat. Dalam sebulan RM4. Kalau anda ikhlas, ganjaran yang tuhan beri ialah 700 kali lipat. Maksudnya, dari RM4 yang anda sedekahkan, anda dapat RM2800. Banyak tu.

Cara mana anda dapat RM2800 tu, saya tak tahu, andapun tak tahu. Tidak ada sesiapapun yang tahu. Tetapi kita mesti yakin begitu. Ganjaran yang tuhan beri ialah 700 kali lipat berdasarkan keikhlasan individu. Kalau kurang ikhlas, kuranglah sikit ganjarannya.

Seperkara lagi, kalau anda ke Pasar Tani, Pasar Borong, Bandar Machang atau ke mana sahaja, kalau terjumpa orang minta sedekah, hulurkan sahaja. Jangan kedekut. Kata P.Ramlee, jangan kedekut tahi hidung masin (maksudnya kedekut sangat-sangat). Kalau 4 orang, baru RM4, ganjarannya sama seperti di atas.

Orang yang bersedekah, hatinya mulia. Tuhan sangat menyayanginya..


[4] Orang yang menaruh rasa belas kasihan kepada orang-orang yang lemah dan miskin

Ingatlah kepada satu hadis Nabi, " Barangsiapa menyayangi yang di bumi, nescaya dia akan disayangi oleh yang di langit". Janganlah mengherdik orang-orang yang lemah dan miskin. Bergaullah dengan mereka secara lemah-lembut. Hadirlah ke jamuan-jamuan di rumah mereka. Makanlah apa yang mereka hidangkan, walaupun seleramu tersumbat.

Menyayangi orang-orang lemah dan miskin merupakan sifat mulia Rasulullah. Baginda pernah makan bersama dengan orang yang berpenyakit kusta. Baginda tidak menunjukkan sifat jijik dan tidak mencemuh kehadiran mereka.


[5] Orang yang bergaul dengan ahli ilmu dan ahli hikmah

Kalau anda berkawan dengan Mat Gian, andapun mungkin jadi Mat Gian. Begitu juga kalau berkawan dengan Mat Rempit, Mat Botol dan sebagainya. Tetapi semua kawanan tersebut tidak menguntungkan anda.

Pilihlah ahli ilmu. Ikutlah dia ke surau atau masjid untuk mendengar kuliah agama. Atau anda belajar kat pondok untuk mendalami ilmu agama. Anda akan beruntung kalau jadi ahli ilmu. Katau Imam Syafie, ahli ilmu adalah manusia yang "menjadi".

Atau ikutlah ahli hikmah. Maksud ahli hikmah itu ialah orang yang bijaksana. Maksudnya apa? Iaitu orang yang memilih akhirat dari dunia.

Tanda ahli hikmat itu ialah mereka sentiasa mendekati Tuhan dan memperbanyakkan ibadat kepadaNya. Mereka sentiasa berjemaah di surau, banyak solat sunat, banyak berpuasa sunat, banyak berzikir dan sebagainya.

Mereka itulah orang-orang yang memetik kebahagiaan.


[6] Orang yang baik (halal) pencariannya

Syaidina Ali terkenal dengan sifatnya kuat berkerja untuk menyara isterinya, Siti Fatimah dan anak-anak mereka. Baginda Rasulullah sangat menyayanginya. Maka anda mesti tahu bahawa mana-mana suami yang bertungkus-lumus berkerja untuk keluarga, maka dia mendapat pahala yang banyak. Kerjanya itu sebagai ibadah.

Bila dia membeli makanan, pakaian atau lain-lain keperluan untuk isterinya, maka dia dapat pahala. Begitu juga jika dia berbuat sama untuk anak-anaknya, tanggungannya dan khadamnya. Diapun mendapat pahala. Alangkah banyaknya pahala seseorang itu jika baik (halal) pencariannya.

TETAPI INGAT, jika suami terjun kepada pencarian yang haram, maka semuanya menjadi haram. Dia mendapat dosa dari perbuatannya menyara keluarga menggunakan sumber yang haram itu.


[7] Orang yang lurus batinnya

Maksudnya, dia memiliki 3 sifat berikut di dalam dirinya. Dia JERNIH HATI, BERSIH HATI DAN MURAH HATI.

JERNIH HATI bermaksud hatinya tidak mempunyai sifat kufur dan syirik kepada Tuhan.Dia percaya sepenuhnya kepada Kalimah Syahadat.

BERSIH HATI bermaksud dia mengisi hatinya dengan segala sifat-sifat mahmudah (terpuji) sebagai ganti kepada sifat-sifat mazmumah (keji). Dalam kata lain, dia tidak DENGKI DAN IRI HATI kepada sesama Muslim. Dia menganggap semuanya bersaudara.

MURAH HATI bermaksud .dia suka bersedekah walaupun dengan sebiji khurma kepada rang lain. Dia tidak kedekut dalam hidupnya.


[8] Orang yang mulia zahirnya

Orang yang bila kita memandangnya, kita segera teringat kepada Allah Taala. Wajahnya membawa kita mengingati Allah. Inilah wajah yang hebat. Penampilan zahirnya membawa kita dekat kepada Allah Taala.


[9] Orang yang kejahatannya disingkirkan dari orang ramai

Sungguh beruntung dan berbahagia orang semacam ini. Dia terkenal baik dan semua orang menyukainya. Dia tidak pernah meyakiti hati rakan, kawan, kenalan, jiran atau sesiapa sahaja. Mulutnya bersih, hatinya bersih, anggota badanya juga baik.

Dia terkenal dengan gelaran yang mulia. Dialah lelaki soleh. Kejahatannya tidak pernah ada. Bahkan barangkali tidak kedengaran sama sekali.


[10] Orang yang beramal dengan ilmu pengetahuannya

Barangsiapa yang beramal dengan ilmunya, kata-katanya akan membekas. Barangsiapa yang tidak beramal dengan ilmunya, kata-katanya adalah seperti telur burung kasawari yang jatuh dari daun. Maksudnya, kata-katanya tidak memberi manfaat kepada orang lain.

Ada beberapa amalan supaya kata-katanya membekas.

[a] Sentiasa brtahajjud waktu malam, supaya mulutnya masin (cepat makbul)
[b] Sentiasa mewiridkan Ayatul Kursi 18X sehari
[c] Sentiasa berzikir Ya Hayyu YaQayyum 1000X sehari semalam
[d] Sentiasa mengamalkan ayat 5 selepas setiap solat.


[11] Orang yang membelanjakan lebihan hartanya

Dia percaya bahawa harta yang berguna selepas kematiannya ialah harta yang disedekahkan atau yang ditunaikan zakat jika cukup segala syaratnya. Samada untuk anak yatim, pembinaan pondok pengajian, biasiswa, orang-orang fakir dan miskin dan sebagainya. Dia percaya, dalam hartanya, ada HAK untuk mereka.


[12] Orang yang menahan tutur-katanya

Maksudnya, orang yang bercakap sopan pada waktu dia redha atau marah. Dia tidak marah, mencarut, melaknat, menyumpah atau mengeluarkan sebarang perkataan kotor atau keji dalam apapun keadaan. Bila orang marah kepadanya, dia dapat menahan sabar. Dan bila dia marah kepada orang lain, diapun dapat menahan sabar.

Sumber: E-mel (Tidak Diketahui)


 photo ab53117a-3175-4df1-a4a2-3d08b0538856.jpg


 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.