Tuesday, 9 February 2010

Salam kembali...

Entry pertama untuk tahun ini... Selepas sekian lama aku tidak menulis; boleh dibilang berapa kali aku masuk dan mencoretkan cerita-cerita yang tidak seberapa disini... Kesian laman blog aku, dah jadi macam tukun tiruan dah... Tidak dikemaskini dan dijaga seperti mana dahulu... Entah mengapa aku kurang ligat menulis semenjak kebelakangan ini... Mungkin kerana sifat malas sudah mula menguasai diri...

Hari ini, 9 Februari 2010; aku kembali menulis seperti sediakala... Harapan aku, ia bukan sekadar omongan biasa... Kembaliku disini adalah untuk menulis cerita-cerita dan kisah yang berlaku dalam kehidupanku, perkara yang berlegar-legar di sekelilingku dan sebagainya buat renungan dan pedoman kepada teman-teman yang aku sayangi...

"Gelap"... Itulah tajuk entry aku kali ini yang ingin aku kongsikan bersama anda semua... Aku sengaja memilih tajuk ini bersesuaian dengan apa yang aku ketahui ketika mendengar siaran radio ketika dalam perjalanan ke tempat kerja... Kisah kali ini berkisar mengenai seorang remaja yang telah hilang pandangan sebelah mata dan bakal buta sepenuhnya tidak lama lagi... Ketika aku kusyuk memberikan perhatian terhadap apa yang sedang diperkatakan, fikiranku melayang seketika... Aku terbayang bagaimana sekiranya aku yang berada di tempat remaja tersebut... Adakah aku sanggup untuk mengharunginya? Bagaimana pula anda?

Aku akur dan redha sekiranya ketentuan Tuhan menentukan bahawa aku akan kehilangan pancainderaku... Tiada apa yang mampu aku lakukan selain daripada menerima dengan hati terbuka... Jika Allah nak tarik nikmat yang aku miliki selama aku hidup ini, Dia boleh lakukan dalam sekelip mata sahaja kerana Dia yang Maha Berkuasa yang menentukan segala-galanya... Namun, aku amat-amat bersyukur kerana setakat ini, aku masih lagi mampu memiliki pancaindera yang sempurna tanpa sebarang masalah... Cuma mata dah mula rabun sikit; maklumlah, dah tua... Hahahaa... Betapa bertuahnya aku jika dibandingkan dengan orang lain yang kurang bernasib baik...

Adik Syamsul Kifli baru sahaja berusia 19 tahun... Sudahpun kehilangan sebelah matanya dan bakal buta sepenuhnya tidak lama lagi... Aku cukup tersentuh apabila mendengar kisah hidupnya akibat daripada apa yang menimpa dirinya ini... Sudahlah mata akan buta, kehidupannya ibarat layang-layang putus tali... Dia tinggal bersama ayahnya yang juga buta penglihatan dan terpaksa menanggung keluarga... Bayangkan dengan kudrat yang ada dan ditambah dengan 'kekurangan' yang tidak pernah dipintanya, dia kini terpaksa mengharungi kehidupan yang belum tentu terjamin buatnya...

Luahan hatinya dikongsi bersama pendengar radio dan DJ (merupakan seorang yang prihatin dan penyayang) telah menemurahkan adik Syamsul untuk kisah yang lebih lanjut... Dia begitu bimbang dengan apa yang bakal dilaluinya... Yelah, siapa yang tidak bimbang jika masa hadapan semakin lama semakin pudar; belum tentu ada sinar yang menanti di hadapan tatkala banyak dugaan yang cabaran yang bakal ditempuhi dengan kekurangan yang ada... Aku cukup simpati dengan adik Syamsul... Jauh disudut hatiku, aku memohon dan berharap agar dapat membantunya mengharungi semua ini...

"Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul"... Benarlah pepatah orang-orang tua... Hanya orang yang mengalaminya sahaja tahu bagaimana rasanya... Orang lain hanya mampu melihat dan memerhati sahaja... Selalunya kita akan rasa sayu dan simpati kepada mereka... Aku juga cukup kagum dengan respon yang diberikan oleh pendengar yang lain... Apa yang menarik perhatian aku ialah seorang pendengar yang merupakan OKU telah memberikan pandangan dan semangat kepada adik Syamsul... Memang benar dan aku amat bersetuju dengan pandangan dan komen dari pendengar tersebut... Hilang penglihatan bukan bermaksud hilang segala-galanya... Masih ada sinar yang menanti dan terpulang kepada setiap individu itu sendiri untuk mendapatkannya...

Pendengar tersebut juga merupakan seorang yang buta matanya akibat daripada kemalangan yang menimpa dirinya sewaktu dia masih kecil... Dia hilang sebelah mata dan lama kelamaan buta kedua-dua belah mata... Namun atas usaha dan tawakkal serta hati yang cekal, dia berjaya dalam kehidupannya... Bayangkan, walaupun buta tetapi dia tidak pernah sesekali mengalah... Kini, atas berkat usahanya itu dia berjaya dalam hidupnya... Aku cukup kagum bila dia telah maklumkan kepada DJ radio bahawa kini dia bertugas di Malaysia Airlines apabila soalan mengenai kerjaya diajukan kepadanya...

Moga-moga adik Syamsul mendengar apa yang dibualkan didalam siaran radio sebentar tadi... Aku berdoa agar adik Syamsul akan mengambil iktibar dan seterusnya merancang perjalanan masa hadapannya...

Apa yang aku dengar tadi memberikan kesedaran buat diriku... Pada kita-kita yang masih lagi mempunyai pancaindera ini, jagalah sebaik-baiknya... Jangan sampai ianya 'hilang' pula... Sebagai seorang manusia yang kerdil disisiNya, seharusnya kita bersyukur atas nikmat kurniaanNya kerana sekali ianya hilang, selama-lamanya ia akan hilang... Tiada gantinya lagi...

2 comment:

adique said...

salam reez...lama menyepi? still ingat adique tak?

erm sedih baca kisah adik ni kan..rupanya kat luar sana lagi ramai org yg susah dari kita kan...

erm kita dah pindah rumah baru tak, kalau tak bz singgah2 lah eh :)

intan said...

betul... semua yg ade pada kita hanya pinjaman semata dan ia pasti dtuntut kembali...
bila??? wallahuallam..

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.