Wednesday, 12 May 2010

Salam sejahtera...

Sekadar buat renungan dan pedoman untuk kita semua... Moga-moga ia memberi pengajaran yang sangat berguna, InsyaAllah...


Kita renungi sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasululah S.A.W yang menceritakan tentang kisah seorang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya yang juga merupakan antara dosa paling besar di dalam Islam. Allah S.W.T melaknati perbuatan ini dan mengenakan azabnya di atas dunia lagi, ini kerana dosa menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan salah satu dosa yang disegerakan azabnya di muka bumi lagi!...

Kisah yang berlaku kepada Alaqamah yang mempunyai seorang ibu yang telah tua, dan beliau seorang yang terkenal sebagai seorang anak yang taat dan patuh kepada ibunya dan juga seorang ahli ibadat dan sering bersedekah kepada fakir miskin. Keadaan ini tidak berkekalan kerana setelah Alaqamah berkahwin, beliau telah mengabaikan ibunya dan tidak melayaninya seperti mana sebelum dia berkahwin. Hal ini telah menyebabkan ibunya kecil hati dan kecewa lalu dia berpindah dari rumah Alaqamah dan menyendiri di sebuah pondok usang namun Alaqamah tidak berusaha untuk mencarinya.

Pada suatu hari Alaqamah telah ditimpa penyakit dan sakit tenat, ketika ajalnya hampir tiba, seluruh keluarganya berkumpul dan mengajarnya mengucap. Perkataan "La ila ha illallah" tidak dapat diucapkannya walaupun perkataan itulah yang menjadi ratib dan zikirnya setiap masa sewaktu sihat dulu. Kaum keluarganya berusaha berkali-kali namun sia-sia sahaja kerana mulut Alaqamah seakan-akan terkunci. Mereka akhirnya kecewa dan menyampaikan kejadian tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W mengeluarkan arahan agar para sahabatnya pergi melihat keadaaan Alaqamah dan cuba berusaha mengajarnya mengucap tetapi usaha mereka juga sia-sia.

Rasulullah S.A.W kemudian memerintahkan agar dicari ibu Alaqamah dan membawa bertemu dengan baginda. Sebaik sahaja ibu Alaqamah tiba, baginda lantas bertanya mengenai keadaan diri Alaqamah. Ibu Alaqamah mengakui bahawa dia berkecil hati dengan perbuatan anaknya itu yang tidak memperdulikannya dan akibat perbuatan Alaqamah itu dia enggan memaafkannya. Rasulullah S.A.W memerintahkan agar para sahabat mengumpul kayu api, arahan baginda tersebut sudah tentu mengejutkan para sahabat dan merasa hairan lantas menanyakan sebab-sebabnya. Baginda memberitahu bahawa kayu api tersebut akan digunakan untuk membakar Alaqamah di depan ibunya.

Apabila ibu Alaqamah mendengar Rasulullah S.A.W hendak membakar Alaqamah dengan kayu api tersebut, ibunya menangis dan merayu agar anaknya itu tidak dibakar dan dia bersumpah dengan nama Allah S.W.T di hadapan Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya untuk memaafkan Alaqamah dengan penuh ikhlas dan rela hati.

Rasulullah S.A.W kemudian memerintahkan agar para sahabat pergi melihat keadaan Alaqamah, sebaik sahaja mereka tiba dan belum sempat untuk mengajarnya mengucap, Alaqamah telah mengucapkannya dengan lancar dan fasih sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Demikianlah sebuah kisah yang cukup menakutkan sebagai peringatan bagi manusia bahawa azab dan seksaan menderhaka kepada kedua orang tua itu akan disegerakan di muka bumi ini lagi. Oleh bersama-samalah kita berbakti kepada mereka berdua selagi hayat mereka masih ada, bagi mereka yang telah kehilangan mereka maka doa anak yang soleh itu adalah terlebih manfaat baginya.


Sumber : Tidak Diketahui (E-mel)

2 comment:

KampungChelsea said...

Aslkm,salam ziarah...minat bola ? jom join blog bola versi piala dunia ni http://kampungpialadunia.blogspot.com ,ok bye

Anonymous said...

salam..x tersengaja jumpe blog nie...
redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa...so..klu kite nak redha Allah taati ibu bapa...moga2 hidup kite diiringi keberkatan n redha Allah sentiasa...hikmah dalam setiap perjalanan hidup kita sentiasa ada...

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.