Thursday, 15 January 2015

 photo Bismillah.jpg

"Masa Itu Emas"

Ungkapan ini merupakan ungkapan yang benar. Tiap kali masa melewati kita, ia tidak akan kembali semula. Berbahagialah pada mereka yang bijak menggunakan masa sebaiknya dan rugilah pada mereka yang membazir masa.

Pernahkah anda sedari, masa berlalu dengan pantas? Bila waktu pagi, sekelip mata dah masuk waktu tengahari. Ketika kita asyik melakukan sesuatu tugas atau kerja, masa terus berlalu. Kadang-kadang kita merasakan, ianya terlalu pantas meninggalkan kita.

Sebenarnya, masa tidak berlalu terlalu pantas ataupun terlalu perlahan. Perjalanannya tetap sama. Pengiraan saat dan minit sehingga membawa kepada jam itu tetap serupa seperti sediakala. Cuma kita sahaja merasakan ianya berbeza dek kerana kita asyik dengan apa yang kita kerjakan.

Contohnya seperti hari ini, terlalu banyak perkara yang perlu aku kerjakan. Sehingga aku tidak sedar bahawa aku terlepas waktu makan tengahari. Dari duduk di meja sehinggalah beralih kedudukan ke bilik mesyuarat. Begitulah rutin aku hari ini yang terlalu sibuk sehinggakan terlepas waktu untuk mengalas perut. Namun begitu, aku tetap bersyukur kerana masih sempat menunaikan kewajipan pada Yang Maha Esa walaupun terlalu sibuk.

Kadang-kadang aku lihat, orang lain tidak sesibuk aku. Ada juga aku rasa aneh; aku dengan orang lain terutama rakan sekerja tidak punya banyak beza dari segi tugasan dan tanggungjawab. Tapi mengapa aku merasakan bahawa adakala aku 'sesak nafas' dan tak 'senang duduk' tiap kali menjejakkan kaki di ruang pejabat.

Bila diamati satu persatu, mungkin ada beberapa tugasan aku memerlukan lebih perhatian untuk disiapkan. Mungkin juga ada tugasan sampingan yang diluarkan bidang kerja telah diberikan kepadaku. Memang aku tidak boleh lari daripadanya kerana kalau tidak dilaksanakan, siapa lagi nak buat? Demi kebaikan bersama, aku tunaikan dan selesaikan juga. Moga aku memperoleh berkat dari apa yang telah aku kerjakan.

Walaupun tugasan sampingan ini memerlukan banyak pengorbanan, bagi sesetengah orang, ia merupakan satu "bala" atau beban buat mereka. Walaupun kadang-kadang tugasan ini tidaklah sesusah mana, tetap berat bagi mereka. Mereka merasakan, mereka tidak mempunyai masa dan waktu untuk menunaikannya. Sebenarnya, bukan mereka tidak mempunyai masa tetapi hakikatnya mereka malas atau tidak mahu memikul tanggungjawab.

"Kerja sudahlah berkira; ini tak nak buat, itu letak tepi. Jadi, bagaimana?"

Alasan yang diberikan, terlalu sibuk dan tidak ada masa. Walhal bila diperhatikan, datang kerja sudahlah lambat. Keluar makan tengahari sampai 2 jam (waktu yang dibenarkan cuma 1 jam sahaja) dan balik pula tepat jam 5.45 petang. Seminit pun tidak akan berganjak! Ketika waktu bekerja, selalu sangat "hilang" dan sempat pula berborak-borak dengan orang lain.

Inikah yang dikatakan TIDAK ADA MASA?

Sebagai seorang yang amanah dan ikhlas melakukan kerja, seharusnya kita menunaikan setiap tanggungjawab mengikut perjanjian kerja kita lebih-lebih lagi waktu bekerja. Harus diingat, rezeki yang kita peroleh dari kerja yang kita buat datangnya dari hasil tugas yang kita kerjakan. Dengan rezeki ini juga kita akan menyara kehidupan kita dan keluarga kelak. Jangan lupa, keberkatan itu sangat penting ketika kita menjalani kehidupan seharian demi mendapatkan keredhaan dariNya.

Tanya diri anda sendiri, adakah anda telah melakukan sebaik mungkin dan menghargai masa yang dikurniakan kepada anda selama ini?

Tepuk dada, tanya hati...

 photo ab53117a-3175-4df1-a4a2-3d08b0538856.jpg

0 comment:

 

Copyright 2010 Biar Berakhirnya Di Sini.

Theme by WordpressCenter.com.
Blogger Template by Beta Templates.